Isnin, Januari 4

Penangan Tahun Baru

Setiap kali tahun berganti, secara langsung kita perkatakan tentang azam tahun baru. Dari perspektif Islam, setiap perbuatan itu memerlukan niat. Kadangkala sahaja niat tidak diperlukan contohnya dalam bab-bab perkahwinan dan perceraian. Atas sebab inilah, Islam menganjurkan penganutnya menetapkan niat supaya jelas akan objektif amal perbuatannya nanti.

Tahun Ma’al Hijrah mahupun Tahun Masihi baru sahaja berlalu tidak sampai seminggu. Dalam kemeriahan seluruh umat manusia meraikannya, kedapatan masih ada manusia yang terus dengan ‘tabiat’ yang sama seperti mana mereka meraikannya tahun yang lepas-lepas. Apa yang dimaksudkan di sini ialah perangai segelintir remaja malahan golongan berumur menghabiskan sisa-sisa malam mereka selepas seronok meraikan sambutan ketibaan tahun baru. Buletin Utama contohnya menyiarkan tangkapan khalwat disekitar tiga daerah di negeri Selangor. Tangkapan dibuat sudah pastinya berdasarkan maklumat orang ramai ataupun pegawai terlibat sudah lali dengan taktik anak muda selepas pukul 12 malam.


Hotel murahan, rumah tumpangan dan taman-taman awam yang sunyi menjadi ‘port’ terbaik bagi manusia yang sudah terbiasa dengan ‘tabiat’ buruk ini. Akhirnya ia menjadi  “api dalam sekam”, “gunting dalam lipatan” kepada masalah sosial yang tak berkesudahan. Statistik masalah sosial melibatkan remaja usah ditanya. “Pakcik Google” boleh beri jawapannya.

Bilamana akhbar-akhbar aliran semasa lebih mengagungkan berita politik tak berkesudahan, gosip artis yang sengaja dipanaskan, konsert sambutan tahun baru yang mengujakan, maka hal-hal berkaitan kerosakan akhlak anak muda seperti tiada lagi tempat dalam naskah yang berharga seringgit dua itu. Kalau adapun, hanyalah sebesar kelingking. Padahal yang sebesar kelingking inilah yang perlu diberi perhatian, perlu ditulis dalam-dalam dan perlu diulas sampai malam.

Banyak lagi yang perlu diperbincangkan dan diperbetulkan. Apa yang utama, institusi keluarga perlu diperkukuhkan. Asas kejiranan  perlu dibentuk kembali menjadi masyarakat yang “menjaga tepi kain orang”. Pemimpin berjiwa rakyat perlu maju kehadapan dan diberi peluang bukan ransangan berupa ‘ganjaran’.

p/s – Artikel ditulis hanyalah pendapat peribadi penulis sahaja. Harap maaf kalau ada yang terasa.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sungguh tak cerdik dan berdosa berkhalwat. Lagi tak cerdik bila berkhalwat mlm tahun baru atau mlm merdeka. Sah-sah pencegah maksiat buat rondaan.

Golongan cerdik sikit tapi yg ketagih berkhalwat sekarang ni advane. Diaorang beli tiket Airasia dan berkhalwat di Bali, Bandung dsb.

dilot berkata...

wah...berkahlwat di bandung..dah macam pi honeymoon pulak..

yg paling nmpak tak senonoh...nenek berkhalwat tu...erghhh..memalukan...

Tanpa Nama berkata...

sangat menarik, terima kasih